fb fb fb fb fb

Silibus pembelajaran akan dikaji semula - Radzi

PUTRAJAYA, 25 Jun - Silibus pembelajaran di sekolah akan dikaji semula berdasarkan kerumitan dan bukan kebiasaan pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata kajian semula itu bertujuan bagi melihat standard silibus pendidikan agar tidak membebankan pelajar.

"Dalam konteks ini kita akan lihat pertama sekali adakah ianya melibatkan isu terlalu rumit ataupun ianya ketidakbiasaan, yang itu kita hendak kena semaklah, jadi ini perkara yang sedang kita berikan tumpuan." katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(2), di sini.

(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin)

Tambah Radzi, sekiranya didapati silibus yang diajar itu kompleks, pihak kementerian akan membuat semakan.

Sementara itu, mengenai mewujudkan jawatan warden asrama sepenuh masa, Radzi berkata pelbagai perkara perlu diambil kira sebelum jawatan tersebut diwujudkan.

Katanya, keputusan sama ada perlu diwujudkan jawatan tersebut tidak hanya diputuskan Kementerian Pendidikan (KPM) malah perlu melibatkan pelbagai pihak.

"Sebenarnya kita ambil kira ramai yang mengatakan mengapa hanya naikkan elaun sahaja, mengapa tidak wujudkan jawatan tetap.

"Sebenarnya kami di kementerian telah berbincang semua pilihan yang ada. Kalau nak tambah jawatan tetap macam mana, boleh dilaksanakan ataupun tidak. Jadi dalam konteks itu banyak kekangan, sebab itu kita ambil kira semua kekangan yang ada," katanya.

Sebelum ini, KPM mengumumkan jumlah elaun warden asrama dinaikkan sebanyak 25% dan menambah seramai 3,813 orang warden asrama di 1,874 buah sekolah berasrama KPM seluruh negara berkuat kuasa Ogos ini.

Media Baharu