fb fb fb fb fb

Sikap prasangka menggagalkan pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

SHAH ALAM, 13 November- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah menegaskan sikap prasangka di antara satu sama lain bukan sahaja memecahbelahkan masyarakat, malah turut menggagalkan usaha membentuk bangsa Malaysia yang bersatu padu.

“Kita telah berjaya melawan virus COVID-19, tetapi ada satu lagi virus yang kita masih gagal untuk mengatasi iaitu virus perpecahan.

“Lebih mendukacitakan apabila sesuatu isu dipolitikkan oleh pihak tertentu sehingga membawa kepada situasi lebih sukar,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja bersempena Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam.

Justeru, Seri Paduka Baginda bertitah jika hendak mengubah nasib bangsa dan negara, semua pihak dari generasi muda sehinggalah kepada pegawai kerajaan dan ahli politik mestilah berani melakukan perubahan terhadap diri sendiri.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM yang ketujuh.

Turut berangkat ke istiadat hari ini ialah Pro-Canselor UitM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

ROSLINA BINTI DIN