PUTRAJAYA, 26 Disember - Sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) tahun 2024 telah siap untuk edaran dan proses penghantaran sedang dilaksanakan secara berperingkat ke semua agensi pelaksana Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) negeri bagi tujuan edaran sekolah-sekolah terlibat.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu susulan pertanyaan daripada ibu bapa berhubung sijil berkenaan, selepas pengumuman keputusan peperiksaan dibuat pada 20 Mac lalu.
"Semua calon UPKK Tahun 2024 boleh mendapatkan Sijil masing-masing di sekolah mereka menduduki peperiksaan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu sijil bagi Wilayah Persekutuan dan Selangor masih berada dalam proses cetakan dan akan disiapkan dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun slip keputusan fizikal UPKK Tahun 2024 yang telah diperoleh sebelum ini di sekolah masing-masing adalah sah dan boleh digunakan sebagai dokumen sokongan bagi permohonan kemasukan ke sekolah-sekolah khusus bawah Kementerian Pendidikan (KPM).