fb fb fb fb fb

Sidang Khas DUN Sarawak, belum ada RUU diterima- Speaker

Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar

KUCHING, 25 Jun- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang rang undang-undang atau agenda rasmi berkaitan Persidangan Khas DUN Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 7 Julai ini.

Menurut beliau, walaupun Premier Sarawak telah menyatakan hasrat mengadakan persidangan khas tersebut, notis rasmi hanya bertujuan memaklumkan kepada kesemua 82 Ahli Dewan Undangan Negeri.

"Setakat ini saya belum menerima sebarang rang undang-undang. Jadi kalau saya nak bercakap berdasarkan fakta, memang tiada apa-apa yang diterima lagi. Seperti amalan biasa, apabila rang undang-undang diterima, akan diadakan mesyuarat pramajlis dan saya akan panggil sidang media seperti kebiasaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Program Parlimen Mahasiswa Penggal Ketiga Siri 1 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Mengulas mengenai kemungkinan persidangan itu berkaitan dengan isu persempadanan semula kawasan pilihan raya, beliau menjelaskan ia merupakan bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan setakat ini tiada usul rasmi dikemukakan untuk perbincangan di peringkat DUN.

Mengulas mengenai penganjuran Program Parlimen Mahasiswa, beliau menyifatkannya sebagai inisiatif penting dalam mendedahkan generasi muda kepada proses perundangan dan suasana sebenar persidangan dewan.

“Ini kali pertama dalam sejarah kita adakan program seumpama ini. Saya memang menantikan peluang sebegini kerana kita perlu latih golongan muda, dedahkan mereka kepada amalan sebenar Parlimen supaya mereka boleh rasai sendiri suasana berbahas dalam dewan,” ujar beliau.

Program anjuran UiTM Sarawak melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar itu melibatkan penyertaan kira-kira 155 orang mahasiswa.

Ia dijangka memberi impak signifikan dalam membentuk modal insan berkualiti yang bukan sahaja berpengetahuan tentang sistem demokrasi, malah mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat selepas tamat pengajian kelak.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE