fb fb fb fb fb

Malaysia ulang pendirian tegas kutuk kekejaman Israel di Gaza

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 25 Jun - Malaysia sekali lagi mengulangi pendirian tegas berhubung isu Palestin khususnya rakyat Gaza yang berterusan menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menuntut agar Israel menghentikan segala bentuk keganasan, dan penjajahan serta menyeru agar segera memberikan keselamatan kepada rakyat Gaza.

"Kami juga menyentuh isu penting di Gaza, Palestin dan mahukan Israel menghentikan keganasan, penjajahan dan jenayah genosid. Sebaliknya memastikan keselamatan dan keadilan buat rakyat Gaza yang telah lama menderita dan masih berterusan menderita.

"Penderitaan ini disebabkan kegagalan komuniti antarabangsa dalam menjamin hak asasi manusia, serta hipokrasi kebanyakan negara barat berhubung isu Palestin," beliau menyatakan pendirian negara pada Sidang Media bersama Malaysia-Kyrgyz, di sini.

Sebelum itu, Datuk Seri Anwar mengadakan mesyuarat empat mata bersama Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov sempena lawatan dua hari beliau ke Malaysia.

Kemudian, ia disusuli dengan mesyuarat delegasi bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.

Mengulas lanjut mengenai konflik Asia Barat, Datuk Seri Anwar berkata dirinya turut berkongsi dengan Presiden Zhaparov mengenai perbincangannya bersama Presiden Iran, Mahmoud Pezekshkian berhubung konflik Iran-Israel.

"Kami menyatakan sokongan ke atas usaha keamanan, hak pihak berkuasa Iran membalas pencerobohan rejim Israel, serta memastikan keamanan itu dibuat secara adil dan resolusi yang baik bermaksud negara di Asia Barat, negara Arab kekal aman tanpa keganasan Israel," jelas beliau.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar memaklumkan berkesempatan bercakap dengan Emir of Qatar, Tamim Hamid Al-Thani.

Menerusi perbincangan itu, Malaysia bukan sahaja menzahirkan kebimbangan mengenai isu Gaza, juga menyatakan penghargaan atas usaha diplomatik Qatar dalam memastikan keamanan dan gencatan senjata antara Israel-Iran.

Perdana Menyeru turut memaklumkan beliau menerima mesej peribadi daripada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman yang menyatakan sokongan gencatan senjata serta memastikan semua negara di Asia Barat menyokong keamanan sekali gus menentang keganasan Israel.

TETITIA YUSOFF