KUALA LUMPUR, 23 Mei – Pegawai Kanan Kuwait, Najeeb Al Bader, tiba di Malaysia hari ini bagi menghadiri sesi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 tahun 2025 yang berlangsung di ibu negara.
Ketibaan beliau dan delegasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut oleh wakil daripada Kementerian Luar Negeri (KLN).
Kehadiran Kuwait dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala dan mempererat kerjasama serantau antara ASEAN dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Kuwait merupakan salah satu daripada enam negara anggota GCC, selain Arab Saudi, Bahrain, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Selain Kuwait, beberapa pegawai kanan negara ASEAN turut tiba hari ini termasuk wakil dari Myanmar, Aung Kyaw Moe dan Han Win Aung, serta wakil Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof.
Mesyuarat pegawai kanan akan berlangsung hari ini, diikuti oleh mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, manakala mesyuarat ketua kerajaan dijadualkan berlangsung mulai 26 Mei 2025.