KUALA LUMPUR, 22 Mei- Meningkatkan keupayaan syarikat kecil dan sederhana (SME) menceburi perniagaan luar dari kebiasaan merangkumi sektor hijau, ekonomi digital, semikonduktor dan perkhidmatan berasaskan pembuatan, antara yang akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sufian Jusoh berkata, ke arah usaha itu, beberapa inisiatif penting dijangka dimuktamadkan bersama negara anggota ASEAN bagi memperkasa SME di rantau ini dalam tempoh 20 tahun akan datang.
"Pertama, kita bantu membina satu sistem atau garis panduan untuk syarikat kecil dan sederhana yang ingin buat perubahan daripada perniagaan biasa kepada berteknologi hijau atau lebih lestari,"
"Seterusnya, inisiatif meningkatkan keupayaan dan kapasiti PKS yang ingin menceburi perniagaan berasaskan teknologi hijau,"kata beliau ketika ditemu bual secara eksklusif RTM di sini hari ini.
Perbincangan berkaitan pemerkasaan SME dalam industri digital dan semikonduktor juga antara fokus utama.
"Menerusi, Rangka Kerja Ekonomi Digital yang menjadi satu-satunya perjanjian besar di dunia yang dibangunkan ASEAN ini bukan sahaja dapat membantu syarikat kecil dan sederhana tetapi juga keseluruhan ekonomi digital di ASEAN untuk membangun,"
"Kemudian ada juga inisiatif dalam bidang semikonduktor. Walaupun sektor ini sering diceburi syarikat-syarikat besar tetapi syarikat kecil dan sederhana juga boleh ambil peluang menawarkan perkhidmatan berkaitan pembuatan," kata beliau.
Tambah beliau, insiatif yang akan dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak kali ini dapat memastikan SME lebih berani untuk menceburi bidang baharu.
Mengulas mengenai Visi Komuniti ASEAN 2045, beliau memberitahu pelancaran Pelan Strategik setiap lima tahun pada Sidang Kemuncak ASEAN kali ini dapat memastikan segala perancangan berjalan dengan lancar.
"Antara manfaat yang kita akan cuba bina pada setiap lima tahun ialah bagaimana kita bangunkan industri kecil, perkhidmatan berkaitan pembuatan, kecerdasan buatan dan bagaimana ASEAN bangunkan rangka kerja rangkaian keselamatan. Menerusinya, ada peluang untuk pakar-pakar kecerdasan buatan terlibat sama untuk menawarkan perkhidmatan dan kepakaran kepada negara ASEAN,"
"Selepas pelan strategik ini dilancarkan pada Sidang Kemuncak, MITI dan IKMAS akan membuat pembedahan (penelitian) untuk dibincangkan secara lebih khusus di semua peringkat di Malaysia," kata beliau.