ALOR SETAR, 22 Mei- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman tiga individu termasuk seorang pengarah urusan bergelar Datuk.
Kesemua mereka disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu kira-kira RM48,000 melibatkan pembekalan makanan kepada agensi pasukan keselamatan negara.
Perintah reman sehingga esok terhadap dua suspek lelaki dan seorang suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini.
Suspek utama disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2023 yang melibatkan tuntutan pembekalan makanan mentah, basah dan kering berjumlah kira-kira RM48,000 kepada pasukan keselamatan negara yang menjalankan penugasan kawalan di pos barisan hadapan.
Turut ditahan dua kakitangan syarikat pembekal yang disyaki bersubahat dengan suspek utama dalam menyediakan dan mengemukakan dokumen tuntutan yang dipercayai tiada pembekalan dilakukan.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.