LENGGONG 13 Mei: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terperinci berkaitan nahas yang mengorbankan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU).
Nahas itu melibatkan sebuah trak FRU dengan lori muatan batu, berlaku di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan, pagi tadi.
Merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata langkah sewajarnya akan diambil termasuk dalam soal kebajikan waris dan sebagainya.
"Saya mengharapkan ahli keluarga mangsa yang terkorban tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan yang berlaku ini.
"Saya juga yakin bukan hanya siasatan malah pihak polis juga akan membantu mengambil langkah sewajarnya dalam soal kebajikan mereka," katanya.