JOHOR BAHRU, 19 Januari- 649 premis di Johor diperiksa sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina yang bermula 15 Januari lalu.
Pemeriksaan melibatkan 591 peruncit, 43 pemborong dan 15 pengilang seluruh Johor.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Muhamad Aizudin Mohd Said berkata, seramai 200 anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan terhadap lapan barangan yang disenarai dalam SHMMP sehingga 29 Januari ini.
Setakat ini, tiada premis dikenakan tindakan.
(Foto fail)
"Kita dapati semua peniaga, baik pemborong patuh atas segala harga yang telah dikuatkuasakan malah saya dapati bukan sedikit tetapi banyak peniaga yang meletakkan harga di bawah daripada harga yang dikawal. Sebagai contoh hari ini saya buat pemeriksaan 80% harga barangan kita kawal dijual bawah harga kawalan," katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan operasi di sebuah pasar raya di sini.
Premis yang melanggar peraturan SHMMP akan dikenakan kompaun serta merta, selain dikenakan notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.