KEMAMAN, 16 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menggerakkan 119 anggota penguat kuasa dan 58 Pegawai Pemantau Harga bagi memastikan pematuhan terhadap Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali.
Menurut Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat, operasi bermula 16 hingga 22 Oktober ini menyasarkan pasar tani, pusat beli-belah dan lokasi tumpuan pengguna, bagi mengekang aktiviti peniaga tidak beretika serta mengelak pembelian panik.
Justeru, pihaknya menyeru semua peniaga agar mematuhi harga maksimum yang ditetapkan dan memastikan label merah jambu digunakan bagi barangan di bawah skim berkenaan.
"Tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan di bawah SHMMP.
"Sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan penalti yang telah ditetapkan iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi individu dan sehingga RM500,000 bagi syarikat," katanya.
Pelanggaran lain seperti tidak mempamerkan label harga merah jambu juga boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 bagi syarikat dan RM10,000 bagi individu.
KPDN Terengganu menggesa orang ramai menyalurkan aduan atau maklumat salah laku peniaga melalui saluran rasmi yang disediakan.