fb fb fb fb fb

'Sheconomy' simbol pengaruh wanita dalam ekonomi

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR, 19 Jun - Peranan wanita sebagai peneraju dalam pembangunan ekonomi masa depan terus diiktiraf apabila Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 memperkenalkan gagasan 'Sheconomy', yang melambangkan pengaruh dan kepimpinan wanita dalam pelbagai bidang.

Menurut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, forum ini mampu menjadi pemangkin kepada perubahan besar, sejajar dengan misinya untuk mengangkat martabat wanita melalui pendekatan diplomasi awam yang inklusif dan bersifat global.

“WEF ASEAN bukan sekadar forum, tetapi satu gerakan bukan berasaskan keuntungan yang memperjuangkan peranan wanita secara menyeluruh. 'Sheconomy' adalah pengiktirafan kepada pengaruh wanita dalam mencorakkan naratif ekonomi masa kini dan akan datang,” katanya ketika berucap di Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Bertemakan “Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of ASEAN SHEconomy”, forum ini menekankan kepimpinan wanita merentas sempadan dan pentingnya kerjasama antara negara dalam teknologi, kelestarian, perdagangan dan tadbir urus.

Dr Wan Azizah berkata, kisah kejayaan yang dikongsi boleh menjadi inspirasi kepada generasi wanita akan datang, namun cabaran utama ialah memastikan hasil perbincangan dilaksanakan dengan tindakan yang nyata.

“Kita harus memastikan dialog seperti ini melahirkan komitmen sebenar, termasuk melalui ikrar syarikat, perkongsian awam-swasta dan inisiatif kerajaan. Saya percaya forum ini mampu mencapainya,” katanya lagi.

Forum Ekonomi Wanita ASEAN 2025 menghimpunkan tokoh wanita dari pelbagai negara untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam memperkasa wanita sebagai pemacu utama ekonomi masa hadapan ASEAN.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE