fb fb fb fb fb

Teknologi baharu mampu tingkatkan ketepatan, kecekapan projek

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Penggunaan teknologi seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), dron, pengimbasan LiDAR, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan analitik data dilihat mampu meningkatkan ketepatan, mempercepatkan aliran kerja serta mengoptimumkan pelaksanaan projek pembinaan di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penggunaan teknologi tersebut turut membantu meningkatkan kerja berpasukan, mengurangkan kelewatan serta menjadikan sesuatu projek lebih telus dan cekap.

“Kita ada teknologi dron dan sebagainya, jadi kita lihat kerja-kerja menjadi lebih mudah dan tepat. Sebab itu kita perlu menerima sepenuhnya teknologi yang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kongres Juruukur Antarabangsa RISM ke-27, di sini hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa profesion juruukur mempunyai kedudukan yang unik dalam menjembatani dunia fizikal dan digital, serta berperanan penting dalam menyumbang cerapan kritikal sepanjang setiap fasa pembangunan dan pembinaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Alexander turut menyentuh isu penglibatan graduan ukur tanah tempatan di luar negara, yang semakin meningkat berikutan tawaran pekerjaan terhad dan kadar gaji rendah di dalam negara.

Menurutnya, negara maju menawarkan gaji lebih lumayan, kemudahan teknologi canggih dan laluan kerjaya yang lebih jelas, menyebabkan Malaysia berdepan cabaran untuk mengekalkan bakat tempatan dalam industri ukur.

“Untuk mengekalkan bakat kita di sini, kita perlu mengambil tindakan. Pertama, kita mesti menawarkan gaji dan faedah yang lebih baik. Kita juga perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan bekerjasama rapat bersama sektor swasta dan industri,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN