PUTRAJAYA, 12 Ogos- Isu tadbir urus menjadi antara agenda penting yang akan diperjuangkan dalam pentadbiran Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Ia senada dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang mengemudi Kerajaan MADANI.
"Saya yakin dengan jentera kerajaan yang ada, kita dapat berikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.. dengan kepimpinan PM (Perdana Menteri), saya yakin boleh bawa Malaysia ke arah lebih cemerlang," katanya pada sidang media selepas sesi 'Clock In' di Bangunan Perdana Putra di sini.
Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Pelantikan Shamsul Azri berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bersara wajib pada 10 Ogos lepas.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai sebarang pengumuman yang akan diumum pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Jumaat ini, Shamsul Azri berkata akan ada berita gembira buat semua penjawat awam.
"Tak boleh bocor rahsia, insya-Allah berita baik untuk semua penjawat awam," katanya.