PORT DICKSON, 11 Mei - Tentera Darat Malaysia (TDM) kekal dengan pendirian mengusulkan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk kepada Kementerian Pertahanan berikutan kegagalan kontraktor memenuhi obligasi yang ditetapkan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata kontrak tersebut telah dimeterai pada 2022 dan mengikut perancangan dan helikopter berkenaan sepatutnya tiba November tahun lalu.
Bagaimanapun, pihak kontraktor telah menyatakan kelewatan tersebut dan berjanji menyelesaikan penghantaran helikopter tersebut pada April lalu.
"Sepatutnya obligasi asal mereka perlu hantar pada bulan November tahun lepas dan janjinya pada bulan April perkara tersebut semuanya akan selesai. Semua rancangan asal gagal diperolehi atas sebab-sebabnya yang kita sendiri tidak tahu.
"Ini sebenarnya memberi kesan kepada latihan dan operasi dan kita berpendapat supaya tindakan sewajarnya perlu diambil demi perkhidmatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 199/2023 melibatkan 1,498 anggota di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini.
Pada 16 April lepas, Muhammad Hafizuddeain dilapor berkata TDM akan mengambil tindakan susulan sekiranya kontraktor yang dilantik masih gagal membuat penghantaran pertama helikopter Black Hawk yang sepatutnya pada hujung bulan lepas.
Beliau amat berharap kontraktor berkenaan dapat membuat penghantaran peringkat pertama melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat itu.