Sewa MyKad kepada warga asing, penjara 3 tahun denda RM20,000

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Individu yang menyewa atau menyerahkan MyKad mereka kepada pendatang asing boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan melaksanakan penguatkuasaan berterusan untuk mencegah dan mengesan penyalahgunaan identiti.
  • Kegagalan membawa atau mengemukakan MyKad semasa pemeriksaan boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 25(1) PPN 1990.
  • Ops Jejak 1.0 di Pasir Gudang menahan 36 pendatang asing disyaki menggunakan MyKad palsu atau milik orang lain.
  • 577 pendakwaan di bawah Peraturan 25(1)(e) melibatkan 449 kes MyKad palsu dan 128 kes penggunaan MyKad orang lain.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan memandang serius isu berkenaan, dengan melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dalam mencegah serta mengesan penyalahgunaan identiti pada peringkat awal.

“Sementara itu, kegagalan membawa atau mengemukakan MyKad semasa pemeriksaan, sekiranya memenuhi elemen kesalahan yang ditetapkan, boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 25(1), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990.

“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali, tertakluk pada peruntukan khusus yang terpakai,” kata Datuk Seri Dr Shamsul.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, berhubung penahanan 36 pendatang asing yang bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang, Johor, menerusi Ops Jejak 1.0 pada Selasa lalu kerana disyaki menggunakan MyKad palsu dan MyKad milik orang lain.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar memaklumkan, sebanyak 1,868 tangkapan menerusi 4,174 operasi yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara bersama
Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi tempoh 2022 hingga September 2026.

Sebanyak 577 pendakwaan dilaksanakan mengikut Peraturan 25(1)(e) PPN 1990, melibatkan 449 kes penggunaan MyKad palsu dan 128 kes penggunaan MyKad milik individu lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.