fb fb fb fb fb

Sesi Libat Urus Industri Jagung Bijian Zon Utara himpun pemain industri 3 negeri

Foto FAMA Perlis

KANGAR, 31 Julai –Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis telah menganjurkan Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Jagung Bijian Zon 1 melibatkan tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Program berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis itu menghimpunkan seramai 50 penanam, pengusaha serta pemain industri jagung bijian dari tiga negeri terlibat.

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata, sesi libat urus ini merupakan langkah proaktif dalam mengenal pasti maklumat, cabaran dan isu semasa yang dihadapi pemain industri bagi memperkasa dan memperkukuh sektor tersebut secara menyeluruh.

Katanya, langkah itu juga dalam memastikan 30 peratus keperluan domestik jagung bijian dapat dihasilkan dalam negara menjelang tahun 2032, sekali gus menyokong agenda nasional ke arah keterjaminan bekalan makanan.

Sesi libat urus tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Kanan Pemasaran Segar dan Intervensi FAMA Aiada Abdul Rashid bersama panel-panel dari jabatan serta agensi bawah KPKM.

TETITIA YUSOFF