MATA AYER, 31 Julai -Projek ternakan ikan puyu hybrid di Kampung Datuk Kayaman bawah inisiatif SejaTi MADANI menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar serta meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Ketua Projek Penternakan Puyu Hybrid kampung itu, Mohamad Azhar Sudin berkata projek akuakultur itu bukan sahaja menyediakan sumber pendapatan sampingan, malah berpotensi untuk dijadikan sebagai asas kepada pembentukan ekonomi baharu di kawasan desa.
Katanya, sebanyak 10,500 benih anak ikan puyu hybrid telah dilepaskan ke dalam 20 kolam kanvas sejak Jun lalu. Proses pembesaran ikan tersebut mengambil masa kira-kira empat bulan sebelum boleh dipasarkan.
"Selain daripada kita mahu menghasilkan ikan segar, mungkin Kampung Datuk Kayaman pun kita ada buat perancangan untuk menghasilkan produk daripada segi pekasam yang kita cuba hendak hasilkanlah. Dan kita tengok dengan keadaan ketika ini pasaran bukan hanya sekadar kita berniaga di kedai tapi kita boleh gunakan semua platform media sosial yang ada untuk kita pasarkan produk kita," katanya kepada pemberita pada perasmian Projek Penternakan Ikan Puyu Hybrid di Kampung Datuk Kayaman, di sini.
Majlis perasmian dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti KEMAS Parlimen Padang Besar Ruzaini Rais.
Permintaan terhadap Ikan Puyu semakin meningkat ketika ini khususnya pengusaha makanan dan pembuatan pekasam untuk pasaran di dalam negeri dan luar Perlis.
Setiap pusingan penuaian mampu menjana pendapatan melebihi RM30,000 dan pihaknya yakin projek ini akan terus berkembang serta memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk kampung.
Projek tersebut turut disasar menjadi contoh kejayaan ekonomi desa berteraskan penternakan akuakultur secara lestari dan berdaya saing.
Sementara itu Ruzaini Rais berkata, projek penternakan berkenaan membuka peluang besar kepada penduduk tempatan apabila kampung tersebut berpotensi untuk memonopoli penghantarannya bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
"Dengan penternakann ikan puyu hybrid ini, jadi Kampung Datuk Kayaman ini akan monopoli daripada segi penghantaran, permintaan yang banyak ikan-ikan ini. Jadi secara tak langsung ia akan membantu dari segi ekonomi penduduk kampung datuk kayaman," kata Ruzaini Rais