fb fb fb fb fb

Sesi kaunseling JAKOA, bantu Orang Asli atasi trauma akibat ancaman harimau

GUA MUSANG, 1 Mac- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) merancang untuk mengadakan sesi kaunseling kepada masyarakat Orang Asli yang trauma dengan ancaman harimau belang.

Ketua Pengarahnya, Sapiah Mohd. Nor berkata, menerusi pemantauan pihaknya, kesan trauma menyebabkan mereka tidak yakin untuk melaksanakan rutin harian termasuk ke kebun.

Beliau berkata, JAKOA akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membantu memulihkan kembali emosi Orang Asli di Pos Bihai yang terkesan dengan memberi penerangan ancaman harimau belang sehingga mengorbankan nyawa seorang penduduknya.

"Kita dapati masyarakat Orang Asli masih lagi trauma dan kesan daripada kehadiran harimau tersebut mereka masih tidak 'confident' lagi untuk melaksanakan rutin harian, kesan trauma yang dialami mereka di sini masih tidak hilang.

"Jadi JAKOA bercadang untuk mengadakan sesi kaunseling atau taklimat dan penerangan berkaitan dengan kehidupan atau binatang dengan Jabatan Perhilitan. Kami ada merancang untuk mengadakan satu bentuk taklimat atau kaunseling bersama masyarat orang asli untuk menjelaskan habitat ataupun binatang, persekitaran dan sebagainya," katanya ketika melawat masyarakat Orang Asli di Kampung Tendrik, Pos Bihai.

Pada 7 Januari lalu, seorang Ielaki Orang Asli, Anek Along, 59 tahun ditemui maut selepas dipercayai dibaham seekor harimau belang di Kampung Sau, Pos Bihai.

Kejadian itu berlaku ketika sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di kawasan tersebut.


(Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd. Nor ketika melawat masyarakat Orang Asli di Kampung Tendrik, Pos Bihai, Gua Musang)

Media Baharu