fb fb fb fb fb

'Serkapthon' imbau nostalgia tangkap ikan zaman dahulu

JERLUN, 2 Oktober- Aktiviti menangkap ikan menggunakan serkap buluh sudah menjadi kelaziman masyarakat kampung, malah aktiviti tersebut telah diamalkan sejak sekian lama.

Di Kampung Matang Kerengga, aktiviti berkenaan mendapat sambutan luar biasa masyarakat apabila lebih 200 penduduk daripada pelbagai peringkat usia menyertai pertandingan 'Serkapthon'.

Pemimpin masyarakat, yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, program itu bukan sahaja merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan penduduk kampung, malah mengimbau nostalgia zaman dahulu.

"Ini sebahagian usaha kita untuk mengingatkan kembali masyarakat tentang datuk nenek kita dahulu yang bertungkus lumus mengharungi pelbagai cabaran terutama sekali untuk membesarkan keluarga sehinggalah kita berjaya pada hari ini.

Semoga dengan program hari ini, anak-anak muda tak lupa tentang tradisi yang ada pada masyarakat Melayu luar bandar secara umumnya," ujar beliau yang turut terlibat dalam pertandingan tersebut.

('Serkapthon' turut disertai golongan muda)

Turut diadakan acara 'pukul bantal' dan cabutan bertuah buat pengunjung yang hadir.

Kebiasaannya, aktiviti menangkap ikan menggunakan serkap buluh dilakukan ketika proses membajak untuk penanaman semula padi.

Media Baharu