fb fb fb fb fb

Serangan terhadap anak Rafizi perbuatan jahat, khianat

Tangkap layar Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dan menyifatkan cubaan serangan terhadap anak kepada bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, sebagai perbuatan jahat dan khianat.

Menerusi hantaran Facebook beliau, perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Kita masih belum reda dari gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan. Mutakhir adalah percubaan jahat dan khianat terhadap anakanda saudara Rafizi Ramli.

"Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan siasatan telus dan segera," menurut hantaran itu.

Perdana Menteri turut mendoakan kesejahteraan Datuk Seri Rafizi dan keluarganya.

Sementara itu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran X, meluahkan rasa kesal berhubung kejadian itu.

"Saya amat sedih, terkejut dan marah menerima perkhabaran ini. Sebagai seorang bapa dengan anak-anak yang hampir sama usia anak Datuk Seri Rafizi Ramli amat risau tentang keselamatan keluarga.

"Saya mendoakan Ben cepat sembuh, semoga Allah beri keselamatan kepada Datuk Seri Rafizi sekeluarga, dan semoga penyerang-penyerang ini segera diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan," menurut hantaran itu.

Sebelum itu Datuk Seri Rafizi menerusi hantaran Facebook memaklumkan bahawa seorang lelaki telah mengheret anaknya dan mencucuk dengan jarum suntikan.

"Sekitar pukul 1.45 petang ini, semasa anak dan isteri saya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat membeli belah di Putrajaya, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.

"Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal," menurut hantara itu.

Namun Datuk Seri Rafizi segera membawa anaknya ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk rawatan lanjut.

"Pihak polis juga telah berada di tempat kejadian sejurus kejadian. Saya dan keluarga saya telah pun memberi kenyataan kepada pihak polis.

"Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM," tambah kenyataan itu.

Baliau turut pihak polis dan Hospital UPM yang telah membantu keluarganya.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI