fb fb fb fb fb

Dr Muhammad Yunus pulang, selepas lawatan tiga hari ke Malaysia

Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Dr Muhammad Yunus, berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia/ BERNAMA

SEPANG, 13 Ogos – Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Dr Muhammad Yunus, berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

Upacara pelepasan di Kompleks Bunga Raya, KLIA, disertai sambutan permaidani merah dan dengan Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Muhammad Asyraf Zulkifli di Kompleks Bunga Raya di sini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengiringi Dr Muhammad Yunus dan delegasinya berlepas dari Kompleks Bunga Raya menaiki pesawat komersial pada pukul 7.25 malam.

Sebelum berlepas, beliau turut berkesempatan berbual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui panggilan telefon.

Sepanjang lawatan, Malaysia dan Bangladesh memperkukuh hubungan dua hala melalui pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) meliputi pertahanan, tenaga, kajian strategik, pembangunan kapasiti semikonduktor, promosi perdagangan, serta pertukaran Nota Diplomatik dalam bidang latihan diplomatik dan pendidikan tinggi.

Pada 2024, jumlah dagangan kedua-dua negara mencecah RM13.35 bilion (AS$2.92 bilion), meningkat 5.1 peratus berbanding 2023, menjadikan Bangladesh rakan dagang dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan.

Eksport utama terdiri daripada produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia, manakala import dari Bangladesh meliputi tekstil, produk petroleum dan barangan pembuatan.

Lawatan itu dijangka terus mengukuhkan hubungan dua hala dan mendorong kerjasama lebih erat dalam bidang berkepentingan bersama, berasaskan hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1972.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI