fb fb fb fb fb

Hanya 0.3 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam berdepan kes bankrap

Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan sebanyak 4,194 kes bankrap membabitkan penjawat awam antara 2020 hingga Jun 2025.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, jumlah itu mewakili 0.3 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Beberapa langkah dilaksana bagi membantu penjawat awam yang berdepan masalah kewangan serius termasuk menyediakan khidmat nasihat, bantuan pengurusan kewangan serta program penstrukturan semula pembiayaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

"Bagi pegawai baharu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan Program Transformasi Minda (PTM) yang memberi pendedahan awal tentang pengurusan kewangan peribadi bagi memastikan mereka mampu mengurus hutang secara berhemah.

"Selain itu, penjawat awam juga tertakluk kepada peraturan yang menetapkan gaji bersih bulanan tidak boleh kurang daripada 40 peratus, bagi mengelak mereka berada dalam keberhutangan kewangan yang serius," katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkenaan langkah kerajaan terhadap trend peningkatan hutang isi rumah, khususnya dalam kalangan penjawat awam.

Setakat Mac 2025, jumlah hutang isi rumah negara mencecah RM1.65 trilion atau 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun katanya, ia kekal terkawal secara makro memandangkan aset kewangan isi rumah pada tempoh sama berjumlah RM3.45 trilion, iaitu 21 kali ganda melebihi hutang.

Mengulas isu perumahan yang menjadi komponen terbesar hutang isi rumah iaitu 61.1 peratus, beliau menjelaskan, pelbagai skim pemilikan rumah mampu milik termasuk Residensi MADANI dan PRIMA disediakan, dengan mengambil kira situasi khusus seperti di Johor Bahru yang berdepan kos sara hidup tinggi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI