KUALA LUMPUR 13 Ogos - Gabungan teknologi kecerdasan buatan atau AI dengan seni muzik dan fotografi menjadi medium baharu dalam menyampaikan mesej kesedaran sosial dalam kalangan masyarakat.
Itulah pendekatan penulis lagu, Norsalim Ali menerusi karya terbarunya 'Justice for Zara Qairina' sebagai solidariti terhadap kematian remaja perempuan berusia 13 tahun, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Beliau yang juga pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Segamat, Johor itu menggunakan pengalaman dan bakatnya untuk membuka mata masyarakat mengenai bahaya gejala buli.
"Pemergian arwah terlalu muda… setahun lebih tua daripada cucu saya sendiri. Apabila baca laporan media, timbul rasa marah dan persoalan siapa akan membela dia?," katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau menggabungkan fotografi berasaskan cahaya dan subjek dengan muzik yang dihasilkan menggunakan AI.
Menurutnya, rentak rancak dipilih bagi memastikan mesej anti-buli dapat menembusi pelbagai lapisan usia tanpa mengorbankan kekuatan lirik.
"Kalau muzik terlalu perlahan, ramai akan abaikan. Tapi bila rancak, orang dengar, orang hayati lirik, dan mesej kita sampai," jelasnya.
Melalui lagu ini, beliau berharap masyarakat menyedari bahawa buli bukan sekadar gurauan, tetapi perbuatan jenayah yang boleh meninggalkan trauma berpanjangan atau lebih parah lagi hingga meragut nyawa.
"Bayangkan kalau arwah Zahra ini anak kita sendiri… adakah kita akan diam?," soalnya.