KUALA LUMPUR, 8 April - Serangan rejim Zionis terhadap umat Islam di tapak suci Masjid Al-Aqsa, Palestin adalah tindakan terkutuk yang tidak boleh dimaafkan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kekejaman itu sengaja dilakukan terhadap penduduk Palestin setiap kali menjelang bulan Ramadan, salah satu bulan mulia umat Islam.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan baru-baru ini terhadap jemaah yang sedang melakukan ibadat di dalam tapak suci Masjid Al Aqsa.Seluruh dunia Islam berasa amat sedih dan marah dengan kekejaman yang tidak berkesudahan terhadap saudara kita di Palestin.
"Kejadian setiap tahun pada bulan Ramadan itu tidak lain dan tidak bukan satu tindakan yang disengajakan yang tidak boleh dimaafkan, tidak sopan dan kurang ajar. Ia adalah pelanggaran berat hak sivil kemanusiaan yang bermaruah serta kebebasan beribadat agama yang tidak membahayakan orang lain," katanya menerusi kenyataan.
Mohamed Khaled berkata, sejak awal tahun ini, apabila sayap pelampau Zionis berkuasa dalam entiti Israel, rakyat Palestin berdepan tekanan dan kebimbangan disebabkan pelbagai dasar sekatan dikenakan kerajaan Israel.
Katanya, semua dasar rejim Israel yang baharu dengan melaksanakan sekatan, pencerobohan dan serangan yang ditujukan kepada rakyat Palestin adalah tindakan mengerikan yang mesti dihentikan segera.
Beliau juga menuntut supaya dihentikan provokasi dan serbuan ganas terhadap jemaah di Al-Haram Al-Sharif selain menggesa supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) memainkan peranan sewajarnya bagi mengurangkan ketegangan di kawasan terbabit.
Berhubung penahanan rakyat Palestin yang tidak bersalah, beliau membantah tindakan sedemikian.
"Kami bersolidariti menyokong rakyat Palestin dan ingin menegaskan kepentingan Masjid Al-Aqsa sebagai tempat suci Islam.
"Saya percaya kita harus berusaha untuk hidup bersama secara aman, menghormati kepercayaan antara satu sama lain dan memberikan layanan berperikemanusiaan atas nilai kehormatan diri," katanya.