KULAI, 10 Mac- Seorang wanita berusia 29 tahun maut, manakala tiga lagi termasuk bayi tiga bulan cedera, dalam nahas di Kilometer 39.9 arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan, Kulai, semalam.
Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dinaiki keempat-empat mangsa, yang terbabas dan terbalik ke bahu jalan.
Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan l, Asmiza Zaini berkata, seramai 11 anggota bersama dua buah jentera, dikerahkan untuk operasi menyelamat.
"Seorang wanita didapati tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Manakala seorang lelaki berumur 30 tahun, bersama bayi tiga bulan dan kanak-kanak perempuan empat tahun, dalam kenderaan sama, turut dilaporkan cedera.
"Semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan.