fb fb fb fb fb

JPN Kedah komited pastikan kebajikan, pengajian pelajar kurang bernasib baik

Foto RTM

JERLUN, 10 Mac-Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah terus komited bagi memastikan kebajikan dan pengajian pelajar kurang bernasib baik termasuk anak yatim, yatim piatu dan miskin di negeri itu, sentiasa terbela.

Pengarah JPN Kedah, Ismail Othman berkata pelajar berkenaan akan diberi perhatian khusus bagi mengelakkan mereka tercicir dalam pelajaran.
 
"Pelajar berkenaan bukan sahaja memerlukan ilmu di bilik darjah, tetapi juga perhatian daripada semua pihak serta tangan-tangan yang sudi menghulur sumbangan.
 
"Pelajar terbabit juga memerlukan suntikan semangat dan dorongan agar mereka terus teguh dalam meniti arus kehidupan.
 
"Kesusahan tidak boleh dijadikan sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan," katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 40 anak yatim, yatim piatu dan asnaf yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hitam di Jerlun, Kedah.
 
Sumbangan berupa wang tunai itu bertujuan untuk menyuntik semangat mereka untuk terus belajar dan bersama membina masa depan yang lebih gemilang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM