fb fb fb fb fb

Seorang maut, empat cedera dalam kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Kluang

Dua kenderaan bertembung di Kilometer 86, Jalan Kota Tinggi-Kluang

KLUANG, 2 Mac- Seorang penumpang kereta maut, manakala empat lagi cedera, dalam nahas jalan raya di Kilometer 86, Jalan Kota Tinggi-Kluang, pada pukul 7.00 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan itu melibatkan dua buah kereta, yang bertembung antara satu sama lain, ekoran hilang kawalan.

"Susulan pelanggaran, seorang penumpang daripada salah sebuah kereta terlibat, telah cedera parah di muka dan kepala.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang," kata Bahrin.

Manakala, pemandu dan dua penumpang dalam kereta sama, mengalami kecederaan ringan di muka, dada, badan dan kaki.

Sementara itu seorang lagi pemandu kereta berasingan, yang merupakan jururawat berusia 39 tahun, turut parah di muka dan badan.

Kesemuanya sedang menerima rawatan di hospital sama, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI