fb fb fb fb fb

Seorang maut, dua cedera kemalangan di LPT 1

Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 207, Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1) di Kampung Bungor, Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

KUANTAN, 11 Mei - Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 207, Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1) di Kampung Bungor, di sini menghala ke Kuala Lumpur.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Lima anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 2.26 petang.

"Ketika tiba di tempat kejadian didapati kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki lima lelaki itu, dipercayai terbabas. Dalam kejadian itu, seorang mangsa maut, dua cedera, manakala dua lagi selamat," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Zulfadli, pihaknya telah menggunakan alat penyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN