fb fb fb fb fb

Seorang maut, 14 cedera dalam kemalangan di Jalan Renggam - Layang-Layang

Foto RTM

KLUANG, 1 April-Seorang maut manakala 14 lagi cedera dalam nahas jalan raya di Kilometer 25, Jalan Renggam -Layang-Layang, di sini, pada isnin malam.

Insiden embabitkan dua buah kenderaan itu turut menyaksikan salah seorang mangsa, parah. 

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis MPV, dari arah Renggam, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan. 

Susulan itu, sebuah kereta jenis Sedan yang datang dari arah Layang-Layang, tidak sempat mengelak lalu bertembung antara satu sama lain.

Akibat pelanggaran, pemandu Sedan, Muhammad Amiruddin Kamarulzaman, 29 tahun, parah di kepala, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang. 

Lima lagi penumpang dalam kenderaan sama, cedera. 

Sementara pemandu MPV, Farah Ain Abdullah, 35 tahun, parah di kepala dan badan, kini dirawat di hospital sama. 

Dia yang membawa lapan lagi penumpang, turut mengalami kecederaan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD