SARATOK, 9 Ogos – Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah kereta di Jalan Nyabor-Kabong, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang apabila motosikal yang dibonceng mangsa, Tiew Sendau, 47, dipercayai merempuh kereta yang sedang membelok ke simpang kanan.
Penunggang motosikal, Achu Tiew, 39, pula dilaporkan parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sarikei.
“Siasatan awal mendapati, penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu merempuh sebuah kenderaan jenis MPV yang berhenti di tengah jalan untuk memberi laluan kepada kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan di Kuching, petang tadi.
Mangsa yang tercampak ke tengah jalan akibat impak pelanggaran disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.