fb fb fb fb fb

Festival peribumi ASEAN perkasa warisan, kukuh perpaduan

Majlis perasmian Program Citra Nusa@Muzium : ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami/ Foto FB Saraswathy Kandasami

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Program Citra Nusa@Muzium: ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 menghimpunkan komuniti orang asal dan peribumi dari Malaysia serta negara ASEAN dalam usaha memperkasa warisan budaya serantau.

Menurut Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami, penganjuran program tersebut memberi nilai tambah kepada muzium sebagai platform arus perdana dalam mengangkat naratif kepelbagaian negara.

"Dengan usaha berterusan, Muzium Adat bukan sahaja mampu memperkaya kefahaman masyarakat terhadap kekayaan adat dan nilai budaya, malah menyemai semangat perpaduan berasaskan hormat-menghormati dan penerimaan kepelbagaian yang menjadi teras negara." katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Program Citra Nusa@Muzium: ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 di ibu negara.

Sementara itu, data rasmi menunjukkan 59 peratus penduduk Sabah dan 71 peratus penduduk Sarawak terdiri daripada komuniti peribumi, manakala di Semenanjung, terdapat 217,000 orang asli daripada tiga kumpulan utama iaitu senoi, melayu proto dan negrito.

"Statistik ini membuktikan masyarakat peribumi bukan sahaja penting dalam struktur demografi negara, malah berperanan besar membentuk identiti budaya dan sejarah Malaysia. Usaha mengiktiraf, melindungi dan memperkasakan komuniti ini perlu dilaksanakan secara berterusan dan inklusif", jelasnya.

Festival yang dianjurkan Jabatan Muzium Malaysia itu turut menampilkan budaya Thailand, Indonesia dan Filipina bagi memperkukuh semangat ASEAN yang bersatu dalam kepelbagaian.

ROSLINA BINTI DIN