BERA, 25 Januari- Seorang lelaki orang asli dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menyeberangi Tasik Bera Kemayan malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.17 malam tadi.
Selepas menerima laporan itu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
"Ketika kejadian, mangsa Sabri Juarong, 46 tahun bersama isteri dan anak perempuannya dipercayai ingin pulang ke rumah mereka yang terletak di seberang tasik tersebut dengan menaiki bot.
"Namun, ketika sampai di tengah tasik itu, mangsa telah terjatuh dari bot," kata Zulfadli Zakaria.
Bagaimanapun, isteri dan anak perempuannya terselamat daripada insiden itu.
Susulan kejadian berkenaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan melibatkan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Bukit Angin.
Bagaimanapun operasi SAR ditangguhkan pada pukul 9.43 malam dan dijangka bersambung esok.