ROMPIN, 25 Januari- Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan ujian bot berdekatan Jeti Sungai Puteri Kuala Rompin di sini petang tadi.
Mangsa dan seorang lagi rakannya melakukan ujian bot sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.03 petang tadi.
"Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin bersama dua buah jentera serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Pekan segera digerakkan ke lokasi kejadian.
"Ketika ini pasukan bomba sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tepi sungai," kata Zulfadli.
Operasi SAR ditangguhkan dan dijangka bersambung pada pukul 8.00 pagi esok.