KUALA LUMPUR, 7 Julai - Seorang lagi jemaah lelaki Malaysia Ahmad Kerya, 70, daripada kumpulan KT099, Maktab 81 (PJH: Al Balad) disahkan meninggal dunia akibat septicemic shock secondary to pneumonia with multi organ failure.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menerusi hantaran Facebook memaklumkan allahyarham meninggal dunia di Hospital King Abdul Aziz, Mekah pada 1.22 tengah hari semalam (waktu tempatan).
"Bagi pihak kerajaan Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham.
"Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa beliau, menerima segala amal solehnya dan menempatkannya dalam kalangan para solihin," menurut hantaran itu.
Allahyarham Ahmad Kerya berasal dari Kodiang, Kedah, meninggalkan seorang isteri yang turut bersama-bersamanya mengerjakan haji di Tanah Suci.