fb fb fb fb fb

Projek perumahan di KL wajib bina PPR, rumah mampu milik

(Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 6 Jun- Semua projek perumahan diwajibkan membina rumah mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam semua projek perumahan yang diluluskan di Kuala Lumpur.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ini sasarannya untuk membina lebih banyak rumah mampu milik belum tercapai.

Katanya, perubahan penetapan syarat perlu diubah bagi memastikan jumlah rumah berkenaan dapat ditingkatkan untuk keperluan rakyat tidak berkemampuan.

"Ia memerlukan tindakan yang lebih berkesan dan drastik. Perumahan di Kuala Lumpur dan kota-kota besar itu telah kritikal dan kronik. Jika hendak dibangkitkan, kita mesti ada anjakan dan penetapan syarat yang agak ketat. Kita mahu pembangunan diteruskan tetapi mesti memastikan peluang rakyat miskin itu ditingkatkan samada beli, sewa beli atau hanya menyewa sehingga akhir hayat. Terdapat cadangan sekarang untuk membolehkan individu menyewa dengan kadar murah sehingga akhir hayat dan menyerahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya ketika menjawab soalan dikemukan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun di Dewan Rakyat di sini.

Tambahnya, masalah itu dianggap serius di ibu negara memandangkan terdapat 3,000 permohonan untuk mendiami rumah mampu milik atau PPR dalam setahun, sedangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mampu menawarkan 300 unit dalam tempoh sama.

Dalam pada itu, mengenai pertanyaan berkaitan terdapat terlalu banyak agensi yang terlibat dengan menyelaras sektor perumahan, Anwar berkata ia akan diselaraskan sebaiknya agar fungsi tersebut tidak bertindih.
 
"Antara usaha dilakukan adalah menyeragamkan melalui penubuhan beberapa jawatankuasa Kabinet untuk mengumpulkan semua agensi ini dibawah Timbalan Perdana Menteri (TPM) l, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan TPM ll, Datuk Seri Fadillah Yusof. Pandangan Langkawi itu tepat dan bahagian perumahan juga begitu, jika di bahagian Persekutuan semua agensi diselaraskan untuk memastikan ia tidak bertindih," katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohamad Suhaimi Abdullah di sini.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu