fb fb fb fb fb

Semua organisasi, syarikat diseru beri komitmen agenda kelestarian negara

Datuk Seri Fadillah Yusof

SERDANG, 14 Julai- Semua organisasi dan syarikat korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diseru memberi komitmen terhadap agenda kelestarian negara, ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia dengan membangunkan hala tuju masing-masing yang boleh menyumbang ke arah aspirasi negara, mencapai sasaran Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih pada 2050.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) optimis, amalan dan prinsip kemampanan dalam operasi perniagaan perlu diintegrasikan sebagai penyelesaian yang inovatif bagi melaksanakan komitmen dan tanggungjawab jangka panjang terhadap kesejahteraan alam sekitar dan sosial untuk rakyat dan negara, secara keseluruhannya.

"Kalau kita berganding bahu mengamalkan, insya-Allah kita akan dapat mencapai matlamat tersebut walaupun bukan mudah, bukan senang. Tetapi ini semuanya untuk memastikan masa depan.

"...bukan sahaja generasi kita di Malaysia, tetapi juga untuk memastikan bahawa kemakmuran negara kita akan dapat terus tercipta. Kemampanan ekonomi kita, kesejahteraan sosial rakyat akan dapat dibina secara bersama-sama," katanya ketika berucap melancarkan Rangka Kerja Kelestarian FGV Holding Berhad di Festival FGV bertempat di Taman Agro Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.

Ia bersempena dengan Hari Peneroka FELDA, yang berlangsung selama tiga hari bermula pada Jumaat dan berakhir hari ini.

Dalam pada itu pemain sektor perladangan perlu merebut peluang untuk mengembangkan ekonomi sekular dalam rantaian bekalan ekonomi perladangan khususnya dalam kebangkitan sains dan teknologi global.

Fadillah yakin, banyak peluang boleh dicipta dalam cabaran perubahan iklim dunia mutakhir ini.

Perkara itu khususnya untuk memanfaatkan peluang mengembangkan ekonomi dalam sektor tenaga sama ada menghasilkan tenaga baharu atau Tenaga Boleh Baharu (TBB).

"dalam sektor tenaga, misalnya komitmen kita ialah menjelang 2044 latest...tak ada lagi kuasa janaan bahan api. Maknanya kita tidak akan membekal tenaga menggunakan kuasa bahan api ataupun sumber daripada arang batu. Jadi kita perlu mencari sumber tenaga yang baru.

"...dan sumber tenaga yang baru yang dapat dikenal pasti sekarang ini ialah kuasa hidro, hidrogen masih di peringkat percubaan. Sudah pasti yang ada, gas dan yang berhubung kait dengan sektor perladangan ialah biojisim dan juga biogas," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI