fb fb fb fb fb

Semua anggota Pasukan MALBATT 850-11 dalam keadaan selamat

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman/ Foto RTM

PORT DICKSON, 5 Oktober-Kesemua anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan berada dalam keadaan selamat susulan situasi yang semakin tegang di Asia Barat.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman berkata, sehingga kini, Malbatt 850-11 telah diarahkan untuk menghentikan semua operasi rondaan dan pergerakan logistik, serta kekal di penempatan masing-masing bagi memastikan keselamatan semua anggota terjamin.

"Anggota kita semua dalam keadaan selamat dan sekiranya akan berlaku peperangan pihak bertelagah akan memaklumkan kepada pihak UNIFIL beberapa jam sebelum mereka melaksanakan serangan.

"Jadi dengan itu anggota kita akan masuk ke dalam kubu perlindungan masing-masing dan sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala", katanya demikian pada Majlis Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-91 Tahun 2024 di Kem Segenting, di sini.

Jelasnya, keputusan penarikan balik pegawai dan anggota Malbatt 850-11 adalah tertakluk sepenuhnya kepada arahan daripada United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFILl).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD