fb fb fb fb fb

Semua anggota agensi penguat kuasa perlu berani

PUTRAJAYA, 13 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu semua anggota agensi penguat kuasa melaksanakan tugas menguatkuasakan undang-undang dengan berani tanpa rasa takut terhadap mana-mana pihak.

"Saya nak penguat kuasa jangan bagi peluang, ada penyeludupan jangan peduli pangkat sebaliknya ikut peraturan dan undang-undang…kalau ada ganggu untuk pertahankan, teks (maklum) saya,” kata Anwar pada Program Cakna MADANI bersama Agensi Penguatkuasaan yang dihadiri 2,400 anggota.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan pasukan SPRM kerana tegas dalam isu rasuah dan salah guna kuasa.

"Keberanian ini tidak mudah (tentang rasuah)… berdepan orang seperti pengarah besar yang macam-macam mereka boleh kawal,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Anwar dalam pada itu berkata budaya lama dalam perkhidmatan awam termasuk di agensi penguatkuasaan yang membabitkan ketirisan, elemen campur tangan dan pelanggaran undang-undang mesti diperbetulkan untuk menyelamatkan negara.

"Saya yakin kalau nak selamatkan negara perlu ada anjakan dari cara lama, yang baik (cara) kekalkan tetapi cara lama melibatkan ketirisan, campur tangan dan langgar peraturan itu mesti dibetulkan," katanya.

Anwar berkata tekad politik beliau adalah setegas mungkin menolak rasuah dan penyelewengan malah tindakan tegas itu tidak disenangi pihak lain.

(FOTO BERNAMA)

Media Baharu