fb fb fb fb fb

Sempadan negara dibuka 1 April ini bakal rancakkan kembali ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Selari dengan perancangan memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April 2022, kerajaan telah memutuskan supaya sempadan negara turut dibuka semula pada tarikh sama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengumuman itu juga bakal merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

"Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar."

"Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera," kata Ismail Sabri Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media khas di Parlimen, hari ini.

Bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, Menteri Kesihatan akan memperincikan prosedurnya untuk makluman umum esok.

Kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan senarai SOP pembukaan sempadan negara ini secara lebih terperinci dalam waktu terdekat terutama berhubung prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut.


(29 November 2021, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong merasmikan pelaksanaan VTL melalui udara dan darat/BERNAMA)

Sementara itu, bagi negara yang masih menutup pintu sempadannya, rakyat masih boleh memanfaatkan kaedah Vaccinated Travel Lane (VTL) yang telah dipersetujui kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang terbabit.

"Seperti ramai sedia maklum, buat masa ini VTL telah dimanfaatkan dengan Singapura sejak tahun lalu. Dalam masa terdekat pula, seperti saya umumkan baru-baru ini, VTL turut bakal dimanfaatkan untuk melaksanakan pergerakan keluar masuk antara Malaysia-Thailand, Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia."

"Diharapkan rakyat yang ingin memanfaatkan pembukaan sempadan negara dapat melaksanakannya mengikut garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan diri, orang sekeliling serta negara secara keseluruhannya," tambahnya.

Media Baharu