fb fb fb fb fb

Semat semangat patriotisme sepanjang masa bukan bermusim - Razaruddin

CHERAS, 12 Ogos- Kesedaran generasi muda terhadap pengorbanan pejuang kemerdekaan perlu disemat sepanjang masa dan bukan sekadar bermusim menjelang Hari Kebangsaan semata-mata.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berharap semangat patriotisme generasi terdahulu dapat diteladani bagi menghargai kemerdekaan yang dikecapi.

"Masyarakat hanya mengetahui kisah perjuangan wira terdahulu melalui bacaan dan bahan sejarah yang ditinggalkan dari generasi ke generasi lain atau melalui tontonan filem yang berkisarkan sejarah.

Bahkan kesedaran generasi kini terhadap pejuangan wira terdahulu boleh disifatkan sebagai bermusim terutamanya bila menjelang tarikh penting seperti Hari Pahlawan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia," kata beliau semasa merasmikan Program Bicara Perwira: Pengorbanan Polis, Menentang Pengganas Komunis, di sini.


(Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain)

Program anjuran bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang julung kali diadakan itu bertujuan mengenang pengorbanan anggota polis semasa darurat pada 1948-1989.

Panel yang ditampilkan termasuklah mantan Ketua Pegawai Turus E1M, Cawangan Khas, Bukit Aman, Pesara ACP Datuk Abdullah Abdul Hamid, dan Dekan Kanan Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan (UMP), Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad.

Forum dihadiri 250 peserta terdiri daripada anggota PDRM dan para pelajar UMP.

Media Baharu