fb fb fb fb fb

Semakan subsidi telur gred A,B dan C akan diteliti kabinet esok - Annuar

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Semakan subsidi telur Gred A,B dan C akan dibawa ke mesyuarat kabinet, esok.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata ia susulan terdapat penyusutan bekalan telur bagi gred berkenaan, selain terdapat pengeluar menyekat pengeluaran telur bagi gred yang di subsidi.

(Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa (kanan) bercakap
dalam sidang media di Parlimen)

"Tinjauan kita mendapati ada kekurangan bekalan telur ini dan kekurangan ini kerana subsidi tiga sen itu didakwa pengeluar sebagai tidak cukup menarik kerana kos mereka adalah lebih tinggi, lalu apa yang mereka lakukan mereka keluarkan telur yang tiada kawalan menyebabkan gred kawalan berkurangan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Tambah Annuar, setakat ini kerajaan telah memperuntukkan RM34 juta sebulan bagi subsidi harga Telur Gred A, B dan C.

Dalam pada itu, Annuar berkata permohonan bagi menambah 5,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi akan turut dibawa ke mesyuarat kabinet.

Ini bagi mengimbangi bekalan sedia ada iaitu sebanyak 60,000 metrik tan.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan, bekalan minyak masak dalam negara ketika ini mencukupi.

Sementara itu, Annuar memaklumkan program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) kini dilaksanakan di 585 premis di seluruh negara.

Katanya, jumlah itu mewakili 92 peratus daripada sasaran pelaksanaan JMKM iaitu sebanyak 639 premis.

"Kita harap kita akan terus membuka lagi di beberapa kawasan yang belum melaksanakan program ini sepertimana yang kita matlamatkan sebanyak 639 premis semua sekali," katanya. 

Media Baharu