fb fb fb fb fb

Seluruh jentera kerajaan digembleng tangani gejala buli

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Seluruh kekuatan dan tenaga jentera merentasi kementerian perlu digembleng bagi mengekang gejala buli.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM), Kementerian Komunikasi dan Rakan Muda.

"KPM membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) sebagai rangka menyeluruh pencegahan buli di sekolah. Ini termasuk memperkasa peranan guru dan murid melalui Program Amalan Sekolah Penyayang.

"KPT meningkatkan keselamatan mahasiswa di kampus dengan menambah kamera litar tertutup (CCTV) dan menganjurkan program sahsiah serta kepimpinan sebagai bentuk pencegahan buli dan penderaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.

Sementara itu KPWKM menyediakan sokongan psikososial melalui sesi kaunseling berkelompok.

Manakala Kementerian Komunikasi melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan tahap kesedaran siber dalam kalangan murid sekolah.

Bagi Rakan Muda pula ia akan menggerakkan ikhtiar 'Lawan Buli' dalam kalangan belia di akar umbi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI