fb fb fb fb fb

RM6.9 bilion untuk Sabah, tertinggi dalam sejarah

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Peruntukan sebanyak RM6.9 bilion kepada Sabah dalam Belanjawan 2026 disifatkan tertinggi dalam sejarah negara, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan memperkasa pembangunan ekonomi dan keusahawanan di Borneo.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan itu antara lain memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat di negeri berkenaan, termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir Lembangan Sungai Moyong di Penampang.

“Sabah, misalnya, menerima RM6.9 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah belanjawan negara setakat ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas komitmen beliau, termasuk dalam melaksanakan projek tebatan banjir Lembangan Sungai Moyong yang turut disebut dalam ucapan beliau.

“Perdana Menteri sendiri turun padang dan perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat kabinet. Ini menunjukkan beliau mendengar dan memahami denyut nadi rakyat, sebab itu beliau membentangkan Belanjawan Rakyat 2026 hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Parlimen, hari ini.

Tambahnya, peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pembinaan Tamu Desa di Sabah dan Sarawak dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi komuniti luar bandar di kedua-dua wilayah itu.

Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan kesinambungan kepada program yang dimulakan tahun lalu bagi menaik taraf kemudahan niaga penjaja dan usahawan kecil di kawasan pedalaman.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE