KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Sebanyak RM1 bilion disediakan bagi memperhebat Ikhtiar MADANI Untuk Rakyat, tahun hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil penjimatan menerusi penyasaran subsidi, membolehkan Ikhtiar MADANI Untuk Rakyat dilaksanakan.
Beliau menjelaskan antaranya, Sejati MADANI, iaitu Jawatankuasa Kampung menjalani kegiatan ekonomi yang mereka tentukan dengan dana sehingga RM100,000.
Katanya sejak 2024, lebih 9,500 aktiviti menambah pendapatan komuniti telah dilaksanakan. Datuk Seri Anwar menyenaraikan aktiviti tersebut seperti dibawah:-
• Kampung Sungai Protan, Perak menjana sehingga RM90,000 sebulan melalui projek kolam memancing.Kampung Sungai Gulang-gulang, Selangor melalui projek semaian benih kelapa varieti Sungai Gulang-Gulang (SGGCN16) menjana RM25,000 sebulan.
• Kampung Hiliran Jejawi, Terengganu mengusahakan santan, kelapa parut dan kerisik dengan pendapatan bulanan RM40,000.
• Kampung Abi, Perlis telah menjana pendapatan RM15,000 sebulan dalam perniagaan ketupat palas dan makanan sejuk beku.
Selain itu, menurut Datuk Seri Anwar, Sejati MADANI diperluas untuk turut melibatkan anak-anak muda menambah pendapatan komuniti seperti program mesin layan diri atau di bidang pertanian, khususnya sistem pengairan baja (fertigation).
"Pimpinan negara dan pegawai-pegawai kanan (Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara) telah turun menguruskan permasalahan kampung dan sekolah.
"Tahun hadapan, sasaran Kampung Angkat MADANI ditingkatkan kepada 500 kampung dan Sekolah Angkat MADANI ditingkatkan kepada 1,500 sekolah termasuk penglibatan oleh badan swasta", menurut Datuk Seri Anwar ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Rakyat.
Beliau menambah, kejayaan Solar MADANI yang telah siap memasang 4,000 lampu solar di Sabah (semalam) juga diperluas ke kampung-kampung seluruh negara.
Sejahtera MADANI ialah sumbangan sektor swasta dalam menoktahkan kemiskinan tegar dengan kejayaan dana terkumpul RM120 juta setakat ini.
"Saya merakamkan penghargaan kepada semua terutamanya badan korporat yang turut terlibat dalam Ikhtiar MADANI Untuk Rakyat," kata Datuk Seri Anwar.
Tambahnya, syarikat dan individu berpendapatan perniagaan yang menyumbang untuk program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI, Sejahtera MADANI layak diberi potongan cukai pendapatan.
Sementara itu, Ikhtiar Perkhidmatan Bergerak MADANI menerima lebih RM110 juta bagi memastikan masyarakat desa dan pedalaman mendapat perkhidmatan kerajaan secara terus. Ia melibatkan perkara seperti berikut:
• Penuntut universiti awam bidang sains, kejuruteraan, perubatan dan kejururawatan turun ke kampung-kampung memberi khidmat dukungan kepada rakyat seperti pembaikan, saringan kesihatan dan pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di sekolah.
• Perkhidmatan Komuniti Bergerak Sabah dan Sarawak diperluas ke 19 kawasan baharu, termasuk Kampung Karamuak, Sabah dan Telang Usan, Sarawak.
• Bank Simpanan Nasional (BSN) menambah empat bank bergerak, menjadikan 20 unit bagi memudahkan rakyat pedalaman Sabah, Sarawak, Pahang dan Perak, khususnya lebih 1 juta penerima STR.
• Mahkamah Bergerak diperluas meliputi Mahkamah Buruh Bergerak dan Mahkamah Kanak-kanak Bergerak yang menyediakan bilik saksi mesra kanak-kanak, serta kenderaan ubah suai sebagai bilik bicara serba lengkap.