SHAH ALAM, 24 November – Kerajaan Negeri Selangor menekankan kepentingan kolaborasi dengan sektor swasta mahupun industri bagi memperluas pendedahan pelajar kepada bidang sains dan teknologi.
- Kerjasama sektor swasta dan industri penting untuk memperluas pendedahan pelajar kepada sains dan teknologi.
- Kolaborasi mempercepatkan penguasaan kemahiran teknikal dan vokasional oleh pelajar.
- Industri mampu menyediakan laluan jelas untuk pilihan pendidikan dalam STEM, teknikal dan vokasional.
- STDC akan menjelajah ke sekolah menengah tahun depan untuk mengenal pasti potensi pelajar dalam kemahiran.
- Usaha ini menyokong pembangunan modal insan yang lebih kompetitif melalui automasi dan digitalisasi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata melalui kerjasama itu, pelajar berpeluang menguasai kemahiran teknikal dan vokasional dengan lebih pantas, sekali gus menyokong pembangunan modal insan yang kompetitif.
“Ada perlu keterlibatan pihak swasta atau industri dalam memastikan peralihan pemahaman terhadap sains, teknologi, automasi dan juga digitalisasi ini dapat digerakkan dengan lebih pantas.
“Apatah lagi kerana kemampuan institusi-institusi ini untuk menyediakan laluan yang lebih jelas kepada anak-anak ini untuk memilih bidang sains, teknologi dan juga teknikal dan vokasional yang melibatkan kejuruteraan dan matematik”, katanya.
Menurut Datuk Seri Amirudin, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) juga akan memulakan usaha menjelajah ke sekolah menengah mulai tahun depan bagi mengenal pasti dan meneroka potensi pelajar dalam bidang kemahiran berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada wakil rakyat Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, mengenai pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Persidangan Dewan Negeri Selangor.