SHAH ALAM, 27 Julai- Kerajaan Selangor mendakwa membelanjakan kira-kira RM56 juta sejak Pakatan Harapan mengambil alih negeri itu bagi membaik pulih dan menaik taraf Stadium Shah Alam serta beberapa komponen lain di Kompleks Sukan Shah Alam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbelanjaan tersebut berdasarkan kepada keperluan semasa bagi memastikan stadium itu berada dalam keadaan baik.
"Setiap tahun semenjak diuruskan Majlis Bandaraya Shah Alam hingga diserahkan secara rasmi oleh DEFM pada tahun 2017 atau 2018 kita berbelanja RM5 juta hingga RM6 juta setahun berdasarkan kepada keperluan semasa untuk memastikan stadium ini sentiasa dalam keadaan yang baik dan mampu untuk menjalankan aktiviti yang lazimnya boleh diadakan di kawasan terbabit termasuk konsert, aktiviti dewan di Stadium Malawati dan juga Stadium Shah Alam sudah pasti perlawanan melibatkan Piala Malaysia dan juga pasukan Red Giant," kata Amirudin.
Jelas Amirudin, pada 2015 hingga 2017, sebanyak RM11.745 juta dibelanjakan bagi menaik taraf kemudahan tandas, bilik korporat VIP dan VVIP, pemasangan kamera litar tertutup, membaiki bumbung stadium serta lampu limpah padang.
Selain itu, katanya, sebanyakRM2.22 juta hingga RM5 juta lagi dibelanjakan bagi baik pulih beberapa kemudahan seperti mengecat pagar stadium, pembersihan beam dan naik taraf tandas serta bumbung.
Tambah Amirudin, perbelanjaan tersebut tidak termasuk kos penyelenggaraan berskala kecil sepanjang tempoh berkenaan.
Amirudin berkata demikian ketika menjawab enam soalan bertulis secara serentak daripada Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri lain dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.
(Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjawab soalan pada sidang DUN Selangor)