fb fb fb fb fb

Selangor-Bandung tandatangan MoU Silang Budaya

(Borhan Aman Shah (kiri) dan Drs Bambang Ariyanto (kanan) memegang
MoU Silang Budaya)

BANDUNG, 13 Jun- Kerajaan negeri Selangor menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Silang Budaya di antara Dinas Pendidikan Kota Bandung melalui Sekolah Rendah Malaysia dan Sekolah Dasar Indonesia di Bandung, Indonesia dalam usaha mempromosikan seni budaya Selangor kepada masyarakat luar negara khususnya negara anggota ASEAN.

Exco Kebudayaan, Borhan Aman Shah dan Kepala Bidang Pembinaan Pengembangan Sekolah Dasar Kota Bandung, Drs Bambang Ariyanto turut sama menandatangani MoU berkenaan.

Menurut Borhan, MoU tersebut juga sebagai platform menonjolkan kemampuan dan kemahiran penggiat seni dan budaya Selangor kepada negara luar.

"Mudah-mudahan dengan MoU yang ada akan dapat kita melaksanakan memperkasakan budaya negeri Selangor dan juga di peringkat antarabangsa jadi ini usaha kita yang pertama di ASEAN.

"Dengan adanya MoU ini kita berharap dapat bertukar-tukar budaya antara Bandung atau Indonesia dengan Selangor. Sebenarnya kita hendak pastikan bahawa walaupun kita serumpun dalam Indonesia dan Malaysia tetapi kebanyakan budaya kita tidak sama jadi dengan MoU ini dapat menjalin hubungan yang baik diantara Selangor, Malaysia dan juga Bandung, Indonesia," katanya selepas majlis menandatangani MoU Silang Budaya di Auditorium Kreatif Kota Bandung, di sini pada Isnin.

Tambah beliau, istimewanya MoU ini juga sebagai platform pertukaran pelajar atau program keluarga angkat pada masa hadapan.

Sementara itu, Drs Bambang Ariyanto menjelaskan, perjanjian MoU berkenaan dapat mengeratkan hubungan di samping bekerjasama dari segi ekonomi budaya antara kedua-dua pihak.

"Luar biasa dan saya sangat kagum atas kekompakan (keteguhan) dari Malaysia harusnya (khususnya) kerajaan Selangor. Saya kira ini tidak berhenti di sini, lanjut mungkin kita nanti akan ke Malaysia melihat bagaimana budaya di sana," katanya dalam majlis sama di sini.

Dalam majlis itu, kumpulan Cempuling dari Sekolah Kebangsaan Sungai Lang, Kuala Langat dan Muzik Asli Seri Kenchana berpeluang mengadakan persembahan di Auditorium Kreatif Kota Bandung.

Selain itu, lima buah sekolah di bawah Dinas Pendidikan Kota Bandung iaitu Sekolah Dasar Negeri Antapani, Sekolah Dasar Negeri Cikutra, Sekolah Dasar Negeri Padasuka, Sekolah Dasar Negeri Guruminda dan Sekolah Dasar Negeri Cisaranten Kidul turut berpeluang mengadakan persembahan kebudayaan masing-masing.

(Majlis menandatangani MoU Silang Budaya di Auditorium Kreatif
Kota Bandung, Indonesia)

Media Baharu