fb fb fb fb fb

Sekuriti makanan: Kerajaan perkenal harga siling bergerak -PM

KUALA LUMNPUR, 13 Jun- Kerajaan akan memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah mengikut faktor harga input sebagai sebahagian daripada usaha menjamin ekosistem sekuriti makanan yang lebih inklusif dan menyeluruh dapat diwujudkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengenalan harga siling bergerak itu juga seiring perancangan bantuan terus secara bersasar kepada golongan memerlukan seperti diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, ekosistem agromakanan juga bakal diperluas dengan rantaian bekalan diterajui Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan.

"Koordinasi ini bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.

"Sebagai contoh bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan yang berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, dedak, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri berkata kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri turut akan dipertingkatkan dalam usaha meningkatkan keluasan tanah bagi kegunaan pertanian.

"Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam masa terdekat," katanya lagi.

Selain sekuriti makanan, katanya Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikannya turut menggariskan usaha memodenkan peraturan berkaitan perniagaan bagi melonjak produktiviti dan daya saing negara melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah).

Ismail Sabri berkata, mesyuarat  telah membuat keputusan untuk meningkatkan kerjasama awam dan swasta yang memberi fokus terhadap usaha modenisasi serta dan menggalakkan pertanian pintar bagi meningkatkan hasil pertanian.

"Inisiatif ini akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf," katanya.

Katanya, hasil pertanian akan dipastikan mempunyai pasaran seperti menggalakkan ladang kontrak di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah untuk memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran.



(Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dipengerusikan Perdana Menteri)

 "Selain itu mesyuarat juga telah bersetuju untuk memperkukuhkan pelaksanaan MyMudah di semua kementerian, agensi Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta persatuan perniagaan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju merancakkan lagi program uji kaji peraturan yang dikelola oleh Unit-Unit MyMudah dengan sasaran penyelesaian isu dalam tempoh 60 hari berbanding enam hingga 12 bulan sebelum ini

Dalam kenyataan sama, bagi menangani isu kekurangan kerja mahir dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), beliau berkata kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan “Program Train & Place untuk Jurutera & Juruteknik” kepada 1,000 jurutera dan 1,000 juruteknik.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan juga telah bersetuju untuk memperbaiki dan mempercepat mekanisme pengambilan ekspatriat dan pekerja asing.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia pula akan membuat penyelarasan bersama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja dengan segera.

Jelas beliau, kerajaan komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik bagi mendepani cabaran global bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Media Baharu