fb fb fb fb fb

Laporan lengkap kes Pulau Batu Puteh, Muhammad Adib, Buku Tommy Thomas, siap Ogos

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah), pada sidang media di Putrajaya)


PUTRAJAYA, 13 Jun- Laporan penuh mengenai siasatan dan kajian terhadap kes Pulau Batu Puteh, kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan dakwaan dalam buku My Story: Justice in the Wilderness tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dijangka siap Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan dan jawatankuasa terlibat telah meminta pelanjutan bagi memperhalusi setiap laporan dan kajian.

"Sebelum ini jawatankuasa berkenaan sudah diberi masa 6 bulan sejak ditubuhkan penghujung Disember tahun lepas, tetapi memohon pelanjutan sekurang-kurangya sebulan lagi bagi proses penterjemahan khususnya berkaitan istilah perundangan berikutan ada laporan ditulis dalam bahasa Inggeris.

"Ada juga laporan memerlukan sedikit masa kerana pihak jawatankuasa siasatan berdepan beberapa masalah antaranya perolehan dokumen dan saksi," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bernama melaporkan, sebelum ini, Wan Junaidi berkata laporan akhir siasatan kes kematian Muhammad Adib dan dakwaan dalam buku bekas peguam negara Tommy Thomas akan dibentang kepada Kabinet pada Jun.

Muhammad Adib mengalami kecederaan parah semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia akibat kecederaan ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018.

(Laporan penuh mengenai siasatan dan kajian terhadap kes Pulau Batu Puteh, siap Ogos/FOTO BERNAMA)

Kabinet pada 29 Oktober tahun lalu bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menyemak semula tindakan dan isu perundangan berkenaan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 29 Oktober yang dipengerusikan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Pasukan itu telah mengemukakan dan membentangkan laporan interim pada penghujung April lepas.

Pasukan khas turut ditubuhkan bagi memberi fokus kepada pencarian fakta terhadap dakwaan dalam buku tulisan Tommy Thomas yang dipengerusikan bekas Peguam Besar Negeri Sarawak dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Sarawak Datuk Seri Fong Joo Chung.


Media Baharu